:: Bicara Pemuda ::

 

Thursday, September 13, 2007
Kenyataan Akhbar Pesuruhjaya PAS Terengganu

Dato' Mustafa Ali

Pejabat Perhubungan PAS
Negeri Terengganu,
Kuala Terengganu.


12 Sept. 2007

Tindakan pihak polis mendapatkan perintah reman terhadap dua individu yang ditembak oleh seorang anggota polis menggunakan peluru hidup dalam insiden yang berlaku di Batu Buruk, Kuala Terengganu baru-baru ini amat dikesali.

Dilaporkan kedua-dua individu tersebut yang kini masih menerima rawatan di hospital akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Apa yang dikesali adalah kedua-dua mangsa yang ditembak oleh pihak polis tersebut telah dan akan direman, dan berkemungkinan besar akan didakwa, sementara pihak polis yang menembak mereka dibiarkan bebas tanpa ditangkap direman, jauh sekali untuk didakwa.

Alasan bahawa polis yang menembak kedua-dua individu tersebut melaksanakan hak membela diri (private defence) adalah satu alasan yang “premature”. Di peringkat ini forum yang paling layak menentukan sama ada pembelaan itu terpakai di dalam kes ini adalah mahkamah.

Ini bermakna polis berkenaan perlu terlebih dahulu didakwa di mahkamah. Sebagai satu analogi kes Peguam Balwant Singh yang ditangkap dan didakwa kerana menembak seorang penunggang motosikal. Balwant telah didakwa oleh mahkamah yang memutuskan berhubung isu pembelaan 'self defence' tersebut.

Tanpa pendakwaan ke atas polis terbabit, ia menunjukkan bahawa polis bukan sahaja bertindak sebagai penembak tetapi juga pendakwa, hakim dan juri sekaligus di dalam isu ini.

Selanjutnya ketiadaan pendakwaan ke atas pihak polis yang menembak kedua-dua individu tersebut akan mengundang pelbagai spekulasi antaranya sesuatu cuba disembunyikan oleh pihak polis dari pengetahuan umum. Ia juga akan mewujudkan satu “bad precedent” dan juga bertentangan dengan prinsip akauntabiliti. Ia juga membenarkan persepsi orang ramai bahawa polis di Malaysia berbudaya “trigger happy” sekaligus memburukkan lagi imej dan kredibiliti polis yang sedia buruk.

Oleh yang demikian, demi kepentingan keadilan, polis yang terbabit hendaklah ditangkap direman dan seterusnya didakwa di mahkamah, dan pendakwaan yang paling munasabah ke atas polis terbabit adalah tuduhan cuba membunuh (attempted murder).

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
 
posted by DPP Kawasan Setiu at 12:47 AM | Permalink |


0 Comments: